Skip to main content

UTeM Raih Dua Anugerah di Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026

Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M 2026) anjuran Kerajaan Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya dengan Multimedia University (MMU) sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini. Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE), turut terlibat sebagai rakan strategik program yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Bertemakan “Menjana Solusi Inovatif ke Arah Komuniti Sejahtera”, HIK@M 2026 menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), agensi, industri dan sekolah dalam mengetengahkan idea serta hasil inovasi yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat. Penganjuran kali ini turut memperkenalkan kategori prasekolah sebagai kategori baharu bagi menyemai budaya kreativiti dan inovasi sejak peringkat awal pendidikan.

UTeM telah menghantar sebanyak sembilan penyertaan dalam kategori IPT dan berjaya meraih dua anugerah, sekali gus menyerlahkan keupayaan warga universiti dalam menghasilkan inovasi berasaskan teknologi yang relevan dan berimpak.
MediLink – High-Availability Hybrid Cloud Electronic Health Records Platform for Malaysian Clinics berjaya meraih Tempat Kedua. Projek oleh Yashpreet Singh Gill A/L Nelvinder Singh di bawah penyeliaan Ts. Mohd Nazrien Bin Zaraini ini membangunkan platform rekod kesihatan elektronik (EHR) berasaskan seni bina awan hibrid yang membolehkan klinik terus beroperasi walaupun berlaku gangguan internet. MediLink turut mengintegrasikan daftar masuk pesakit melalui MyKad, triaj berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan farmasi serta kaedah pembayaran tempatan.

Sementara itu, PineGuard, hasil inovasi Vincent Teoh Chia Win di bawah penyeliaan Ts. Dr. Noorrezam Bin Yusop, berjaya meraih Tempat Ketiga. Projek ini membangunkan sistem pemantauan tanaman nanas pintar berasaskan AI dan Internet Kebendaan (IoT) bagi membantu pekebun kecil memantau keadaan tanaman secara masa nyata, mengesan penyakit lebih awal serta menerima amaran automatik melalui aplikasi mudah alih. Inovasi ini berpotensi mengurangkan kehilangan hasil, meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun serta menyokong pertanian mampan dan keterjaminan makanan.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen UTeM dalam memperkasakan budaya inovasi dan menghasilkan penyelesaian teknologi yang memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara. Penglibatan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE) sebagai rakan strategik HIK@M 2026 turut memperkukuh jalinan kolaborasi antara universiti, Kerajaan Negeri Melaka dan pemegang taruh dalam memperkasakan ekosistem inovasi negeri.

Tahniah kepada semua pemenang dan peserta UTeM yang telah membawa nama universiti di pentas HIK@M 2026.

Sekian.

Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
#rice_utem_melaka
#inovasi_penyelidikan
#inovasi_komuniti
#utemstemcentre
#inovasi_pengkomersilan
#perundingan
#industri_ceo_faculty
#mou_moa_loi_loa_nda
#kstp
#utemstartupcentre_spinoff
#PengkomersialanHartaIntelek
#SifuTrademark
#UTeMxIndustri

  • Hits: 10