Skip to main content

KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN KETUA PENGARAH (PENGURUSAN) PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA (MyIPO) KE UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM)

Kunjungan hormat ini telah diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Sheikh Arifin bin Sheikh Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan disambut oleh YBrs. Profesor Dr. Zahriladha bin Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama barisan pengurusan RICE. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik antara pihak MyIPO dan UTeM khususnya dalam aspek pengurusan, perlindungan serta pengkomersialan harta intelek.
 
Turut dibincangkan adalah potensi pelaksanaan program bersama seperti bengkel pemfailan paten, sokongan fasilitator MyIPO serta pemerkasaan proses perlindungan harta intelek secara lebih sistematik di UTeM. Selain sesi kunjungan hormat di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), delegasi MyIPO turut dibawa melawat ke Galeri Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM Melaka, yang menampilkan pelbagai hasil inovasi, penyelidikan serta projek pengkomersialan universiti.
 
Tempat: Bilik Mesyuarat Pejabat TNCPI, Aras 4, Bangunan Canselori
Tarikh: 23 April 2026 (Khamis)
  • Hits: 96

PROGRAM PENDAYAAN KOMUNITI UNIVERSITI AWAM (KOMUNITI@UniMADANI)

Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan, mereka bentuk serta melaksanakan penghasilan produk perabot dan cenderamata berasaskan sisa plastik terpakai dalam kalangan komuniti Kampung Bukit Pulau, Melaka. Sejajar dengan itu, program ini bermatlamat untuk meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti setempat di samping mengurangkan pencemaran sisa plastik melalui penghasilan dan pemasaran produk berasaskan bahan kitar semula. 
 
Pelaksanaan projek ini turut memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi kitaran di peringkat komuniti dengan menyediakan peluang penjanaan pendapatan tambahan melalui pengeluaran perabot mudah alih dan cenderamata daripada plastik terpakai. Kedudukan Kampung Bukit Pulau yang berhampiran dengan pusat bandar Melaka menjadikannya terdedah kepada isu lambakan sisa plastik. Justeru, inisiatif ini dilihat berpotensi untuk memanfaatkan sumber sisa tersebut sebagai bahan mentah bernilai tinggi, seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui pengurangan sisa plastik.
 
Tempat: Balai Raya Kampung Bukit Pulau, Melaka
Tarikh:  12 April 2026 (Ahad)
  • Hits: 120

PENCAPAIAN CEMERLANG PENYELIDIK UTEM DI MTE 2026

Penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengharumkan nama universiti apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan di Malaysia Technology Expo (MTE) 2026, sebuah anugerah inovasi bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan penyelidik, inovator dan pencipta dari seluruh dunia.

MTE 2026 yang diiktiraf sebagai platform inovasi antarabangsa juga telah menjadi medan penting untuk mempamerkan hasil penyelidikan serta membuka peluang jaringan kerjasama strategik antara peserta dari pelbagai negara.

Dalam penyertaan kali ini UTeM telah menghantar sebanyak 4 inovasi dan telah meraih kejayaan yang memberangsangkan dengan membawa pulang:
                •             🏆 2 Anugerah Khas (Special Award)
                •             🥇 2 Pingat Emas (Gold)
                •             🥈 1 Pingat Perak (Silver)
                •             🥉 1 Pingat Gangsa (Bronze)

Tempat: World Trade Centre Kuala Lumpur
Tarikh:  9-11 April 2026
  • Hits: 50

PROGRAM KOMUNITI: LATIHAN TRANSFORMING PRODUCTIVITY & LEADERSHIP WITH GENERATIVE AI KEPADA STAF LEMBAGA TABUNG HAJI

Latihan Transforming Productivity & Leadership with Generative AI kepada staf Lembaga Tabung Haji telah berjaya dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE-UTeM dengan kerjasama pihak Tabung Haji. Program ini telah disampaikan oleh Ts. Dr. Mohd Azlishah bin Othman dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK), dengan penglibatan aktif staf Tabung Haji dari Wilayah Selatan yang merangkumi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Pelaksanaan program melibatkan pendekatan interaktif melalui bengkel praktikal serta sesi perkongsian ilmu yang komprehensif.

Sepanjang program berlangsung, peserta menunjukkan tahap komitmen dan penglibatan yang tinggi serta memberikan maklum balas yang amat positif terhadap kandungan latihan. Peserta telah berjaya menguasai kaedah Deep Research secara mendalam serta memanfaatkan platform seperti NotebookLM untuk mensintesis maklumat bagi tujuan pemasaran, pengurusan haji dan analisis pelaburan. Keupayaan ini telah membantu mempercepatkan penyediaan proposal dan kertas kerja secara lebih sistematik dan efisien.

 
  • Hits: 116

PROGRAM PERKONGSIAN DAN PEMINDAHAN ILMU (KSTP) STEM JELAJAH UTeM STEM CENTRE DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATUK BENDAHARA

Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE) telah menganjurkan Program Perkongsian dan Pemindahan Ilmu (KSTP) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Jelajah UTeM STEM Centre di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara.
 
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah terhadap aplikasi teknologi robotik dalam kejuruteraan pembuatan. Maklum balas yang sangat positif telah diterima daripada peserta.
 
Tempat: SMK Datuk Bendahara
Tarikh: 12 Februari 2026 (Khamis)
  • Hits: 155